Showing posts with label karang laut. Show all posts
Showing posts with label karang laut. Show all posts

Tuesday, April 13, 2010

Pulau Gemia



Terletak kira-kira 800 meter ke utara dari Pulau Kapas di pesisiran pantai Terengganu, Pulau Gemia merupakan sebuah pulau yang menawarkan keindahan pantai yang berpasir putih dan bersih, air yang biru dan tenang, serta hutan-hutan yang kaya dengan flora dan fauna. Semestinya Pulau Gemia menepati segala ciri-ciri kemahuan para pelancong yang menginginkan lokasi penjelajahan yang unik dan tempat yang aman yang indah untuk beristirehat dari kesibukan bebanan kerja dan kesibukan kota.

Pemandangan di Perairan Pulau Gemia
Oleh kerana Pulau Gemia berada di bawah kawasan Taman Konservasi Marin, atau “The Marine Conservation Park” , para pelancong berkesempatan untuk menjelajah di dalam lautan itu sendiri dan berpeluang untuk melihat pelbagai hidupan-hidupan laut yang mengagumkan, seperti terumbu karang dan kehidupan marin lain. Pengalaman mengujakan tersebut dijamin berbeza daripada sekadar melihat daripada kaca akuarium.
Para pelancong juga boleh bersantai di pesisiran pantai, atau mengamati batu-batu yang pelbagai jenis dan saiz di sepanjang pulau tersebut – ataupun lebih hebat lagi melihat anak-anak penyu comel yang baru sahaja menetas. Antara aktiviti-aktiviti lain yang boleh dilakukan di pulau ini adalah seperti scuba diving, berenang, dan snorkeling.

Aktiviti-Aktiviti di Darat
Keseronokan di Pulau Gemia bukan hanya terletak di lautannya yang menakjubkan. Pulau ini juga adalah salah satu lokasi yang terkenal dengan aktiviti perlumbaan. Anda boleh menyaksikan perlumbaan kuda di Royal Savannah ataupun perlumbaan kereta di Scuderia Gem Racing, di mana kedua-duanya pasti akan memberikan anda hiburan yang menyeronokkan kerana anda akan menyaksikan perlumbaan di sebuah tempat yang dipenuhi dengan kehijauan alam - sesuatu yang jarang sekali dirasai oleh kebanyakan pelancong! Bagi peminat-peminat golf, anda pasti akan menyukai The Palmwood Hills 18-hole course yang terletak di barat selatan Pulau Gemia.

Resort Peranginan
Pulau Gemia hanya mempunyai satu resort, iaitu The Gem Island Resort & Spa. Berhadapan dengan Laut Cina Selatan, terdapat empat puluh lima villa yang disediakan oleh resort tersebut untuk disewa oleh pelancong. Setiap villa dilengkapi dengan katil king size, peti sejuk mini, dan segala peralatan lain yang anda perlukan untuk menghasilkan teh Cina yang sedap!

Bagi mereka yang akan bermalam di villa-villa tersebut, televisyen satelit dan penyaman udara juga disediakan bagi memaksimakan keselesaan kepada para tetamu sebaik mugkin. Anda akan menikmati kemudahan dan perkhidmatan bertaraf hotel lima bintang di tengah-tengah keindahan tropikal di sebuah pulau yang bagaikan syurga duniawi!
Di Restoran Samudera milik resort tersebut, anda boleh menikmati hidangan makanan yang lazat sambil menghayati keindahan matahari terbenam – sungguh mengasyikkan! - atau anda mungkin berminat untuk meluangkan masa di Tusita Wellness Spa, yang mana tersedianya perkhidmatan mengurut badan yang cukup melegakan, berendam di dalam jakuzi atau memanjakan badan anda yang keletihan sebagaimana anda mahukan.
Sebagai tetamu hotel, anda juga boleh mencuba pelbagai aktiviti air termasuklah memancing atau ski air. Anda juga akan diberi hak istimewa untuk menikmati keindahan 3 buah pantai persendirian (private beach), sebuah kawasan perlindungan penyu sertas bilik permainan yang disediakan khas untuk kanak-kanak.

Perjalanan Ke Pulau Gemia
Bagi perjalanan ke Pulau Gemia, anda boleh menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Sultan Mahmood di Terengganu. Dari lapangan terbang tersebut, anda boleh mengambil teksi ke Jeti Marang. Setibanya di sana, anda cuma perlu menaiki bot dari jeti untuk ke pesisiran pantai Pulau Gemia yang mengambil masa kira-kira 30 minit. Kemudahan bot dari pulau-pulau berdekatan ke Gemia juga disediakan

Saturday, August 29, 2009

Kelunturan Batu Karang

Herliquien - Ghost Pipefish

Apakah kelunturan karang?

Kelunturan karang adalah satu bentuk tekanan dalam terumbu karang yang melibatkan kegagalan hubungan simbiotik di antara karang dan alga unisel ('zooxanthellae').Gejala-gejala kelunturan termasuklah kehilangan warna secara beransur-ansur apabila 'zooxanthellae' keluar dari tisu karang, sehingga menyebabkan tulang karang berwarna putih.Tekanan kelunturan juga boleh dilihat pada hidupan lain di terumbu karang yang mempunyai hubungan simbiotik dengan 'zooxanthellae' seperti karang lembut, kima gergasi, sesetengah span, dan sebagainya. Kawasan karang yang luas boleh terjejas semasa peristiwa kelunturan secara besar-besaran

Mengapa karang terluntur?

Faktor tekanan yang paling biasa dikaitkan dengan kelunturan adalah peningkatan suhu laut, tetapi tekanan lain seperti keamatan cahaya yang tinggi, tahap kemasinan rendah dan bahan pencemar juga boleh memburukkan lagi kelunturan karang. Jika tekanan terlalu banyak atau untuk terlalu lama, karang boleh mati.

Sumber : Jabatan Taman Laut Malaysia

Taman Laut Malaysia

Nembrota Kubaryana

Taman Laut adalah kawasan perairan laut yang dizonkan sejauh dua batu nautika dari tikas air surut terendah, kecuali Pulau Kapas di Terengganu, Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil di Labuan yang dizonkan sejauh satu batu nautika dari tikas air surut terendah. Taman Laut ditubuhkan untuk melindungi dan memulihara pelbagai habitat dan hidupan marin akuatik. Hari ini, perairan di 42 pulau-pulau di Malaysia telah digazetkan sebagai Taman-Taman Laut.